Wednesday 7 September 2011

TOKOH ULAMAK TAJWID DI MALAYSIA

Tokoh-Tokoh Ulamak Tajwid yang memberi sumbangan besar terhadap perkembangan Ilmu Tajwid dalam Pengajaran dan Pendidikan di Malaysia.
Nukilan dari balliqul-ilm.blogspot.com oleh Ibnu Shahr As-saalanuri
Dalam penulisan ilmu tajwid terdapat beberapa tokoh yang telah banyak memberi sumbangan dalam pengajaran dan pendidikan. Tokoh-tokoh ini telah bertungkus lumus mengembeling tenaga dan buah fikiran untuk memajukan perkembangan ilmu tajwid yang begitu malap perkembangannya terutama di Malaysia. Mereka telah menulis buku-buku yang berkaitan dengan tajwid sebagai panduan dan pembelajaran kepada umat islam dan pembaca-pembaca al-Quran. Antara tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada bidang ini ialah :


1. Tuan Syaikh Musa.
Di Kelantan terdapat seorang anak tempatan yang mahir di bidang tajwid dan ilmu tarranum, beliau ialah Tuan Syaikh Musa, yang dilahirkan di Kampung Apa-Apa , daerah Pasir Mas Kelantan. Beliau dilahirkan sekitar Tahun 1840 dan telah melanjutkan pelajaran di Mekah. Semasa beliau berada di Mekah, beliau telah mempelajari ilmu al-Quran dan akhirnya menjadi guru di Masjidil Haram. Setelah itu beliau juga menguruskan kebajikan orang-orang yang menunaikan haji sehingga beliau digelar “Syaikh”. Beliaulah juga yang dikatakan menjadi pelopor tarannum Hijazi yang pertama di Kelantan.Setelah begitu lama di Mekah, beliau pulang ke Kelantan dan membuka pondok di Kampung Apa-Apa, iaitu di tapak masjid kampung Apa-Apa sekarang. Beliau telah berkahwin dengan Mek Kecik bt Ibrahim dan memperolehi tiga orang anak iaitu Muhammad , Zainab dan Haji Awang. Belaiu telah meninggal dunia pada tahun 1891 dan meninggal ramai anak murid dalam bidang al-Quran, antaranya anaknya sendiri yang mewarisi kemahiran yang ada pada tuan syaikh. Dari segi penulisan pula, beliau bukanlah seorang penulis, ini kerana tidak dinyatakan tajuk-tajuk buku tajwid yang ditulis oleh beliau seperti tokoh-tokoh yang lain.
2. Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz.
Beliau anak kelahiran Sanglang, Perlis, dilahirkan pada 11 september 1948. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab di Arau, Perlis, kemudian melanjutkan pelajaran ke Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Negara, Kuala Lumpur (1970 -1973), Pengajaran ilmu Qiraat secara mushafahah dan talaqqi di Maahad Qiraat Shubra, Qahirah, Mesir dalam ilmu Qiraat dan Tajwid, Universiti al-Azhar, Jabatan Usuluddin, dengan pengkhususan dalam ilmu tafsir sehingga mendapat Sarjana Muda (B.A) dalam bidang tersebut.Kini beliau bertugas di Pusat Islam Malaysia, aktif berceramah di jabatan-jabatan Kerajaan, pernah diundang sebagai hakim musabaqah Tilawah al-Quran dan tahfiz sekaligus sebagai Qari jemputan peringkat antarabangsa.
3. Datuk Hassan Azhari
Seorang lagi ilmuan tajwid yang tersohor di Malaysia ialah Datuk Hassan Azhari, 80, atau dikenali juga sebagai Ustaz Hassan. Beliau dilahirkan di Mekah oleh ibunya Fatmah binti Abdul Hakim dan ayahnya Azhari bin Abdul Khaliq seorang tokoh Agama yang terkenal di Selangor. Beliau telah berhijrah bersama keluarga ke Selangor ketika berusia lapan tahun.Ustaz Hassan dibesarkan dalam suasana dan persekitaran keluarga dan masyarakat Arab yang berilmu dan beragama, ini memudahkan lagi beliau menguasai ilmu agama dan juga kemahiran membaca al-Quran. Beliau mempelajari al-Quran secara formal sejak kecil di Mekah iaitu di peringkat rendah di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah. Antara guru al-Quran beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah). Selain itu, beliau juga mempelajari al-Quran secara tidak formal melalui guru-guru agama dari Indonesia dan Patani.
Datuk Hassan dapat menghafaz 10 juzuk al-Quran semasa beliau berusia 10 tahun di bawah bimbingan Sheikh Ismail. Beliau mula mempelajari tarannum dan qiraat di Mesir pada tahun 1948. Gurunya dalam tarannum antaranya ialah Sheikh Saiyid Mahmud Lutfi Amir dan Sheikh Mahmud Amin Tantawi. Berkat usaha beliau yang gigih beliau telah menguasai pengajian tajwidnya dengan cemerlang sehingga beliau telah dilantik sebagai hakim tilawah al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Atas keikhlasan menabur bakti itulah, Ustaz Hassan diberi anugerah pada tilawah antarabangsa ke- 50 yang lalu kerana telah 50 kali bertugas sebagai hakim tilawah. Ia boleh disamakan dengan sambutan Jubli Emas sebagai hakim tilawah antarabangsa. Di peringkat kebangsaan pula, Hassan telah menjadi hakim selama 51 tahun iaitu sejak ia mula diperkenalkan. Atas sumbangan dan khidmat dalam bidang pembacaan al-Quran, Hassan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1423H bersamaan tahun 2002 selain beberapa anugerah seperti Tokoh Guru Agama Negeri Selangor tahun 1989 dan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan pada tahun 1990.


4- Ustaz Surur Shihabuddin An-Nadawi


Seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Berumur 39 tahun.Pengarang Buku Ilmu Tajwid Jilid I & II. Beliau yang turut dijemput oleh syarikat rakaman EMI untuk merakamkan suara untuk bacaan Yasin dan Tahlil bacaannya sendiri. Rakaman itu kini berada di pasaran dalam bentuk kaset dan cakera padat. Surur juga berpengalaman menghafaz al-Quran di Darul Ulum, Deoband dan mendalami ilmu hadis di Nahdatul Ulama, Lucknow, India.Dari segi khidmat masyarakat pula, Surur pernah menjadi Pengerusi Surau Al-Firdaus, Kota Damansara selama dua tahun yang berakhir tahun lalu (2005). Kini beliau adalah pengerusi Kelas Bimbingan Rehal, Kota Damansara, sebuah pusat pengajian al-Quran dan fardu Ain yang dibuka untuk semua lapisan muslim dewasa dan kanak-kanak.


5. Ustaz Haji Muhammad Hassan bin Ahmad
Beliau dillahirkan pada 4 Januari 1940 di Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Padang Pak Amat, kemudian menyambung plajaran ke Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu, kemudian ke Kolej Agama Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Beliau pernah berkhidmat sebagai Mudir di Sekolah Menegah Agama Khairiah, Padang Pak Amat juga sebagai tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Padang Pak Amat. Ustaz juga pernah memegang jawatan pegawai di beberapa daerah sekitar negeri kelantan.Beliau mula mendapat pendedahan awal mengenai ilmu al-Quran pada sekitar tahun 90 an daripada beberapa orang guru al-Quran termasuklah Datuk Ishak bin Lembik, Tuan Guru Haji Yaakub, Tuan Haji Ahmad bin Haji Salleh al-Hafiz dan beberapa orang guru dari Mekah, Mesir dan Pakistan. Kini Beliau melanjutkan pengajian di Kolej Antarabangsa Ismail Petra ( KIAS) dalam pengajian ilmu Qiraat. Ustaz Haji Muhammad Hassan juga aktif memberi khidmat mengajar, memberi ceramah dan mengadakan kursus al-Quran kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat.
Berikut adalah buku-buku tajwid yang berada di pasaran dan menjadi rujukan masyarakat:
Ilmu Tajwid Al-Quran- ditulis oleh Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz diterbitkan oleh Pustaka Al-Mizan, Kuala Lumpur.
Kitab Pelajaran Tajwid, Melengkapi sukatan pelajaran Tajwid tingkatan 1-5 KBSM – ditulis oleh Azahari b Ibrahim, diterbitkan oleh Darul Nu’man, Kuala Lumpur
Kursus Qari dan Qariah – ditulis oleh Abdullah Al-Qari b Haji Salleh (A.Q.H.A.S) – diterbitkan oleh Pustaka Aman Press- Cetakan ke limabelas -2006
Ilmu Tajwid Menurut Riwayat Hafs ‘An ‘Asim Melalui Toriq Asy-Syatibiah – dikarang oleh Surur Shihabuddin An-Nadawi ( Edisi 2007 –Jilid 1 & 2), Penerbit: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak , Selangor.
Al-Quran Rasm Uthmani Bertajwid dan disertai Makna- ditulis oleh Ustaz Mahadi bin Dahlan dan Ustaz Azharuddin Sahil. Penerbit: Pustaka Haji Abdul Majid.
Belajar tajwid Al-Quranul Karim Cara Mudah dan Tepat ( Edisi Lengkap Rasm Uthmani – ditulis oleh Ustaz Mahadi b Haji Dahlan Al-Hafiz. Penerbit : Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.
Panduan tertil Al-Quran ditulis oleh Haji Nik Jaafar bin Nik Ismail. Penerbit : Darul Fikir, Kuala Lumpur.
Memahami dan Mempelajari Tajwid Al-Quran cara Mudah dan Berkesan,( Edisi Baru dan Lengkap Resam Usmani, ditulis oleh Ustaz Zamri b Mat Isa. Penerbit : O.M.I. Nasuha Enterprise , Kota Bharu Kelantan.
Cara Mudah Belajar Tajwid, ditulis oleh Ustaz Haji Muhammad Hassan bin Ahmad.Tajwid Al-Quran Rasn Uthmani, Edisi Januari 2002, Karangan Haji Abdul Kadir Leong, Penerbit : Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Ilmu Tajwid – Cara Mudah dan Berkesan, ditulis oleh Ustaz H. As’adHuman . Penerbit : Pustaka Dini, Petaling Jaya, Selangor.
Tajwid Al-Quran ( Cetakan Ke tiga) ; Februari 2005, Ditulis oleh AbuMardhiyah ( Mohamad b Abd Manaf), Penerbit : Al- Jenderaki Enterprise, Gombak, Kuala Lumpur.

Kenangan di Yayasan Al Jenderami

Kenangan dalam suasana kerohanian bersama keluarga di yayasan Al jenderami majlis sambutan Maulid Kubro dan Majlis bersama ulama hadramaut Yaman Habib Umar Bin Hafiz

Tuesday 6 September 2011

Manakib Syekh Nuruddin Al Morbu Banjari Al Makki

MANAQIB RINGKAS AL-FADHIL SYAIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI
 
Al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin Bin Haji Marbu Bin Abdullah Thayyib Berasal Dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Beliau Dilahirkan Di Sebuah Desa Bernama Harus, Amuntai, Pada hari Sabtu, Tanggal 1 September 1960 M. Beliau Anak Yang Ketiga Dari Tujuh Bersaudara, Dari Sebuah Keluarga Yang Taat Beragama. Bunda Beliau Bernama Hajjah Rahmah Binti Haji Muhammad Shabri, Adalah Puteri Dari Seorang Tokoh Ulama Besar Di Kalimantan Selatan.
BERHIJRAH KE TANAH SUCI MAKKAH
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di pondok pesantren Normal Islam. Belum pun sempat menamatkan pengajiannya di pondok tersebut seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah. Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shaulathiah sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidilharam dan juga dirumah para masyaikh.
Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di madrasah Shaulathiah. Di samping itu juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu’in, ‘Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas ‘Aliyah.
Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-’Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani Rahimahullah. Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya untuk menemani Tuan guru beliau ke Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah Shallallahu’Alaihiwasallam.
Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak heranlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut saja ulama yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama’ yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikhul-Ulama, Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Thalibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfenani, as-Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah “bilang saja tanpa perlu khawatir”. Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanad hingga kepada pengarang, masya Allah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.
Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma’had ‘Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat ‘Ulya” pada tahun 1990.
ANTARA GURU-GURUNYA KETIKA BELAJAR DI MEKAH DAN MESIR ADALAH ADALAH:-
  • asy-Syaikh al-’Allamah Hasan al-Masyath Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Muhammad Yasin al-Fadani Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki Rahimahullah
  • asy-Syaikh ‘Abdullah Said al-Lahji Rahimahullah
  • asy-Syaikh al ‘Alaamah al-Jalil as-Sayyid ‘Amos Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Muhammad ‘Iwadh al-Yamani Rahimahullah
  • asy-Syaikh Zakaria Bila al-Indonesia Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Syibli al-Banjari Rahimahullah
  • asy-Syaikh Karim al-Banjari Rahimahullah
  • asy-Syaikh ‘Abdul Karim al-Bukhari Rahimahullah
  • asy-’Adnan al-Afnani Rahimahullah
  • asy-Syaikh Saifurrahman Rahimahullah
  • asy-Syaikh Sahili al-Anfanani Rahimahullah
  • asy-Syaikh Said al-Bakistani Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Muhaddits al-Kabir Muhammad Zakaria al-Kandahlawi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-Jalil al-Habib ‘Abdul Qadir as-Saggaf Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Muntashir al-Katani al-Maghribi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Muhaddits al-Habib as-Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’allamah Muhammad Makki al-Hind Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Makhluf Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’allamah ‘Abdullah bin Hamid Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Kabir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-Imam al-Akbar ‘ali Jadul Haq Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah
  • al-Ustaz ad-Doktor asy-Syaikh Muhammad Tayyib an-Najjar Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad ‘Abdul Wahid Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’allamah al-Kabir Abul Hasan ‘Ali an-Nadwi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Faqih ‘atiyyah Saqr Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Hussin Rahimahullah
  • asy-Syaikh ‘Abdul Hafidz al-Hind Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor Ahmad umar Hasyim Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdusshobur Syahin Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdul Fattah asy-Syaikh Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor Nashr Farid Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Arifbillah Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi Rahimahullah, dan ramai lagi.
MENABUR JASA & MENYANDANG GELAR AZHARUS TSANI
Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universitas al Azhar sehingga beliau mendapat gelar Al-Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universitas Al-Azhar sendiri.
Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamik al Path di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama’ muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta’lim beliau telah menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesehatan dan ke’afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.
KARYA ILMIAH
Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab mu’tabar tidak kurang daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.
DIANTARA KITAB TULISAN BELIAU ADALAH SEBAGAI BERIKUT:
  1. الإحاطة بأهم مسئل الحيض والنفاس والإستحاضة
  2. تساؤلات وشبهات وإباطيل حول معجزة الإسراء والمعراج والرد عليها
  3. المختار من نوادر العرب وطرائفهم
  4. آدب المصافحة
  5. من هو المهتدى المنتظر؟
  6. المجال الإقتصاد في الإسلام
  7. بيان مفتى جمهورية مصر العربية حول فوائد البنوك في ميزان أهل العلم
  8. (سفر المرأة) أحكامه وآدابه
  9. بالدرر البهية في إيضاح القواعد الفقهية
  10. معلومات تهمك
  11. أسمآء الكتاب الفقهية لسادتنا الأئمة الشافعية
  12. أحكام العدة في الإسلام
  13. آراء العلماء حول قضية نقل الأعضاء
  14. أدلة بحريم نقل الأعضاء الآدمية
  15. الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر في الكتاب والسنة
  16. العبر ببعض معجزات خير البشر صلى الله عليه وسلم
  17. محمد نور الدين مربو البنجاري المكي والأحاديث المسلسة
  18. الجوهر الحسن من أحاديث سيدنا عثمان بن عفان رضي الله عنه
  19. اسمى المطالب
    من بعض أحاديث سيدنا على بن أبي طالب رضي الله عنه
  20. مراقي الصعود
    من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن مسعود رضي الله عنه
  21. إفادة العام
    والخاص من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله
    عنهما
  22. الكواكب
    الدري من أحاديث سيدنا أبي سعيد الخدري رضي الله عنه
  23. الكواكب
    الأغر ببعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمر رضي الله عنهما
  24. زاد السلك من
    أحاديث سيدنا أنس بن مالك رضي الله عنه
  25. الإقتباس من
    أحاديث سيدنا عبدالله بن عباس رضي الله عنهما
  26. فيض الباري
    حول بعض أحاديث سيدنا أبي موسى الإشعري رضي الله عنه
  27. الردة
    أسبابها وأحكامها
  28. توفيق الباري
    لتوضيح وتكميل مسائل الإيضاح للامام النووي
  29. مكانة العلم
    والعلماء وآداب طالب العلم
dan banyak lagi
 
ANTARA KITAB YANG BELIAU TAHQIQ DAN TA’LIQ ADALAH SEBAGAI BERIKUT:
  • رسالة
    المعاونة والمظاهرة والمؤازرة
  • قرة العين
    بفتاوى الشيخ إسماعيل عثمان زين
  • رفع الأستار
    عن دماء الحج والاعتمار
  • شروط الحج عن
    الغير
  • الحسن
    البصري
  • إقامة الحجة
    غلى أن الإكثار في التعبد ليس ببدعة
  • خصوصيات
    الرسول صلى الله عليه وسلم
  • يستان
    العارفين
dan banyak lagi

MAJLIS PENGAJIAN Dl MALAYSIA
Pada tahun 1998 beliau telah dipercaya untuk mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah (MTI), Derang Kedah, yang didirikan oleh almarhum Ustaz Niamat Bin Yusuf Rahimahullah pada tahun 1980. Beliau tidak ubah umpama hujan yang menyuburkan bumi yang lama kehausan siramannya. Beliau menetap di MTI Derang hinggalah tahun 2002. Beliau merupakan tenaga pengajar yang utama lagi disegani yang banyak memperuntukkan masa beliau untuk para pelajar di Maahad ‘Ali Littafaqquh Fiddin, Derang.
Di samping itu beliau juga dijemput mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah. majlis-majlis perayaan agama malah suara beliau telah lantang bergema menyampaikan syiar agama di hotel-hotel, di pejabat kerajaan sama ada di negeri Kedah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terangganu. Setiap kali pengajian yang diadakan pasti akan bertambah jumlah hadirin yang tidak mau ketinggalan menimba ilmu dan menerima siraman rohani daripada beliau. Setelah 4 tahun menabur bakti di bumi Kedah beliau telah pulang ke tempat asal kelahirannya untuk menumbuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2004 beliau menubuhkan Maahad az-Zein al-Makki al-’Ali Litafaqquh Fiddin di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Dan disinilah beliau menetap dan mencetak kader ulama.
SYAIKH YASIN AL-FADANI GURU SYAIKH NURUDDIN DAN KELEBIHAN SANG GURU

Mawlid-Habib Zain Bin Sumaith

Tokoh ulama kontemporer Bani 'Alawi yang digeruni para penentang Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Digelar sebagai Imam Syafi`i ash-Shoghir kerana penguasaannya dalam bidang fiqh, beliau adalah al-'Alim al-'Allaamah al-Habib Zain @ Zainal 'Abidin bin Ibrahim BinSumaith hafizahUllah. Biografi beliau mudah dicari kerana telah banyak ditulis oleh para pencintanya. Ketokohannya dalam ilmu pengetahuan telah diakui umum. Mengenai hukum mengadakan sambutan mawlid, Habib Zain menulis mengenainya dalam karya beliau berjodol: "al-Ajwibatul Ghaliyyah fi 'Aqiidah al-Firqah an-Naajiyah". Pada halaman 146 beliau menulis sebagai berikut:-


S: Apakah hukum mengadakan majlis sambutan Mawlid Nabi SAW dan berkumpul baginya?

J: Mengadakan sambutan mawlid yang mana ianya adalah acara memperingati khabar-khabar yang datang mengenai sejarah awal kehidupan Junjungan Nabi SAW (yakni mulai awal kelahiran baginda), apa-apa yang berlaku tatkala kelahiran baginda dari segala tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat yang berlaku dan menghimpunkan orang atas tujuan tersebut adalah daripada bid`ah - bid`ah yang baik (hasanah) yang diberi pahala atasnya akan orang yang melakukannya. Ini adalah kerana sambutan-sambutan mawlid tersebut mengandungi penta'dziman terhadap kedudukan Junjungan Nabi SAW serta penzahiran kegembiraan dan kesukaan atas kelahiran baginda yang mulia, di samping memberikan makanan (bersedekah) dan seumpamanya dari pelbagai bentuk ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah dan yang menyebabkan kegembiraan (yakni yang menggembirakan semua pihak di dunia dan di akhirat).

Tuan Mukhtar Bogor : 'Ulama Ahli Syariat & Haqiqat

Tuan Mukhtar Bogor : 'Ulama Ahli Syariat & Haqiqat
(oleh: almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir rahimahullah)

DI MEKAH pada satu ketika dulu sekurang-kurangnya ada tiga orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menguasai banyak bidang disiplin ilmu. Ketiga-tiganya pula adalah merupakan yang paling ramai muridnya, terutama bagi masyarakat dunia Melayu.

Yang pertama, ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 25 tahun, mulai 1300 H/1882 M hingga tahun 1325 H/1908 M. Yang kedua Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi (1276 H/1860 M - 1334 H/ 1916 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 29 tahun, mulai 1305 H/1888 M hingga tahun 1334 H/1916 M. Yang ketiga ialah ulama yang diriwayatkan ini, nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid al-Bughri al-Batawi al-Jawi. Lahir di Bogor, Jawa Barat, pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278 H/14 Februari 1862 M, wafat di Mekah, petang Ahad, 17 Shafar 1349 H/13 Julai 1930 M. Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai 1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M.

Sungguh pun Tuan Mukhtar Bogor menguasai banyak bidang disiplin ilmu termasuk ilmu-ilmu hadis, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafie, pengikut setia Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi. Dalam tasawuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Juneid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, dan lain-lain.

PENDIDIKAN

Beliau memperoleh pendidikan dari orang tuanya sendiri, terutama tentang al-Quran sekaligus beliau hafiz kitab suci Islam itu. Dalam tahun 1299 H/1881 M melanjutkan pelajarannya di Betawi/Jakarta, belajar kepada al-`Allamah al-Habib Utsman bin Aqil bin Yahya, Mufti Betawi. Melalui ulama Arab keturunan Rasulallah s.a.w tersebut Tuan Mukhtar Bogor hafal matan-matan ilmu yang pelbagai. Matan-matan itu ialah: Matn al-Milhah, Matn al-Alfiyah dan Matn al-Qathar semuanya dalam bidang ilmu nahu, Matn al- Ghayah wa at-Taqrib, Matn al-Irsyad, Matn az-Zubad semuanya dalam fikh dan termasuk juga akidah. Ketika belajar di Betawi juga, Tuan Mukhtar telah mahir dalam riwayat-riwayat ilmu Qiraat.

Ulama-ulama yang pernah mengajar Tuan Mukhtar, yang bersanad, yang beliau sebut dalam tulisannya, ialah: Sayyid Muhammad Amin bin Sayyid Ahmad ar-Ridhwan al-Madani, Sayyid Abu Bakri Syatha dan saudaranya Sayyid Umar Syatha, Sayyid Abdul Karim an-Naji ad-Daryandi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Mushthafa Afifi dan Syeikh Muhammad Zainuddin al-Jawi as-Sumbawi. Ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia ini menghasilkan beberapa buah karangan di antaranya yang masih diajarkan sampai sekarang ialah Sirajul Huda (akidah) dan Minhajus Salam (fikh). Guru-guru yang lain beliau sebut pula Syeikh Muhammad al-Minsyawi, Sayyid Umar as-Syami, Sayyid Husein al-Habsyi, Sayyid Yusuf an-Nabhani, Sayyid Muhammad bin Ja'afar al-Kattani dan Syeikh Abdul Qadir al-Halabi.

Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatuth Thalibin. Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikh yang sekaligus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha, iaitu pengarang kitab I'anatuth Thalibin itu. Kitab fikh Mazhab Syafi'ie yang besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha. Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Yang sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil Nail al-Amani tentang nahu. Yang bahasa Melayu ialah Faridatul Faraid tentang akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Mengenai ilmu hadis terutama kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir kedua-dua kitab itu kepada Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi. Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sayyid Husein bin Sayyid Muhammad al-Habsyi dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

MENGAJAR

Dalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal. Praktik mengajar dilakukan di Masjid al-Haram dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di Masjid al-Haram dilakukan antara Maghrib dan Isyak. Dan sesudah Isyak disambung lagi. Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjid al-Haram sekitar 400 orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama.

Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, ialah ilmu nahu, ilmu sharaf dan balaghah. Sesudah Asar mengajar kitab Ihya' Ulumid Din karangan Imam al-Ghazali. Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan miqat dilaksanakan pada hari Selasa, iaitu mengajar kitab susunan beliau sendiri.

Setiap malam Jumaat, Tuan Mukhtar Bogor mengadakan majlis zikir dan doa yang ramai manusia menyertai majlis itu. Setiap selesai melakukan zikir dan doa diiringi dengan jamuan makan secara berjemaah.

Selain melakukan zikir dan doa berjemaah Tuan Mukhtar Bogor memang dikenali sebagai seorang yang zahid, banyak melakukan ibadat, banyak membaca selawat atas Nabi s.a.w, banyak membaca al-Quran dan lain-lain sejenisnya. Sungguhpun Tuan Mukhtar Bogor berkekalan membaca al-Quran sebagai amalan, namun beliau masih mampu mengamalkan zikir-zikir jenis Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.

Selain hal-hal yang tersebut di atas Tuan Mukhtar Bogor juga dikenali sebagai seorang yang pemurah, beliau menampung para pelajar yang tiada berkemampuan dengan bimbingan pelimpahan ilmu, sekali gus diberi makan dan pakaian seperti yang beliau lakukan terhadap keluarganya sendiri.

Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama besar yang mendapat tempat dalam masyarakat ialah: Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor, Sayyid Muhsin bin Ali al-Masawi, pengasas Madrasah al-Ulumid Diniyah, Mekah, Kiyai Ahmad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (adik Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi yang sangat terkenal), Kiyai Haji Hasyim al-Asy'ari, pengasas Nahdhatul Ulama Indonesia, Kiyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi, Sayyid Muhammad Ahyad bin Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang), Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama Kajang (1324 H/1908 M - 1413 H/ 1992 M) dan ramai lagi. Sewaktu artikel ini saya tulis masih ramai murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup, di antaranya di Malaysia ialah Tuan Guru Haji Hasyim (Pimpinan Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman (Pimpinan Pondok Lubuk Tapah, Kelantan). Selain yang masih hidup di Malaysia juga masih ramai di Patani, Indonesia dan di Mekah. Semua murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup pukul rata yang berusia melebihi usia 80 tahun ke atas.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang telah diketahui dan dijumpai adalah sebagai yang tersebut di bawah ini:

  • Taqribul Maqshad fil Amali bir Rub`il Mujaiyab, diselesaikan hari Khamis, 15 Syaaban 1308 H. Kandungan membicarakan ilmu falakiyah. Cetakan kedua Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1331 H. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Jumadil Awwal 1347 H. Selain cetakan sebuah manuskrip salinan yang ditemui, pada akhir salinan dinyatakan, "Saidi wa Ihsan Haji Abdur Rahman bin al-Haji Ibrahim Khathib Melabuh al-Jawi min ahali al-Juhur Baharu''. Maksudnya Saidi dan Ihsan bin Haji Abdur Rahman bin Haji Ibrahim, Khathib Melabuh yang berasal dari kekeluargaan Johor Bahru. Salinan telah dilakukan pada tengah hari Rabu, 15 hari terakhir bulan Rejab 1313 H.
  • Ushulud Din I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, diselesaikan hari Khamis, 24 Zulkaedah 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, sifat dua puluh. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H.
  • Ar-Risalatul Wahbatil Ilahiyah fi Bayani Itsqati ma'alal Maiyiti minal Huquqi was Shiyam was Shalati, diselesaikan malam Ahad, 2 Muharram 1327 H. Kandungan membicarakan fidyah sembahyang, puasa dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
  • As-Shawa'iqul Muhriqah lil Auhamil Kazibah fi Bayani Hillil Baluti war Raddu `ala man Harramahu, diselesaikan: Malam Isnin, 8 Muharram 1329 H. Kandungan membicarakan hukum boleh makan belut. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1329 H
  • It-hafus Sadatil Muhadditsin bi Musalsalatil Ahaditsil Arba'in, diselesaikan: 8 Rabiulawal 1345 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai sanad/silsilah keilmuan dan amalan. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Jumadilawal 1345 H Ditashhih oleh Syeikh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • Khutbah al-Jumaat, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan Khutbah Jumaat, khutbah yang pertama dan khutbah yang kedua. Dicetak tidak terdapat nama percetakan.
  • Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Cetakan yang pertama Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, atas perbelanjaan pemiliknya Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki, 1330 H.
  • Mukhtashar Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah al-'Arabiyah, Mekah, 13/2/1352. Pada halaman 7 pengarang mencatatkan bahawa syarah kitab ini dicetak pertama kali di Mekah tahun 1330 H dan cetakan yang kedua, tahun 1345 H di Mesir. Bahawa beliau telah mencantumkan 30 hadis berserta dengan syarahnya di dalam kitab tersebut.

Kelebihan ilmu dan ulamak

Ulama yang haq itu adanya
Disifatkan oleh Junjungan SAW sebagai pewaris baginda.
Telah masyhur akan sabdaan Baginda mengenainya.
Oleh itu, carilah kamu wahai saudara
Carilah akan pewaris - pewaris baginda

Pabila berjumpa
Duduklah kamu besertanya
Sambil menghirup dan menikmati ilmu dan akhlaknya
Baik yang masih hidup bernyawa di dunia fana
Dengan hadir majlis-majlis mereka
Menuntut dan menadah di hadapan mereka

Bagi yang telah berpindah ke alam baqa
Bersamalah mereka dengan kecintaanmu sentiasa
Telaah dan kaji tinggalan mereka
Berupa kitab karangan, makalah, risalah juga
Jangan jemu dan jangan leka daripadanya

Antara keutamaannya ulama
Sebagai dinyata ulama tabi`in yang tiada tara
Imam Hasan al-Bashri atasnya rahmat Tuhan semesta
Dipungut dari karya pemuka ulama
Habib 'Abdur Rahman mufti bangsa al-Masyhur ternama
Kitab cemerlang "Bughyatul Mustarsyidin" rujukan utama

Goresan pena orang alim itu adanya
Adalahlah ia tasbih umpamanya
Mencatat ilmu juga berfikir mengenainya
Adalah ia suatu ibadah utama
Tinta yang digunakan untuk mencatat ilmunya
Diumpamakan dengan darahnya para syuhada
Pabila dibangkitkan ia dari kuburnya
Takjub segala makhluk memandangnya
Dengan anbiya kan ia dihimpunkan bersama

Itulah antara kelebihan alim ulama
Oleh itu jadikanlah dirimu alim akan agama
Jangan hanya tahukan dunia
Rakus merebutnya tak tentu masa
Ilmu agama jadi dialpa
Akhirnya terpinggir di almari sahaja

Tuntut telaah mengaji janganlah lupa
Juga jadikan amalan jangan dileka
Biar tergolong kita dalam himpunan pencinta ilmu dan ulama
Sungguh seseorang itu akan bersama
Sesiapa yang menjadi kecintaannya.

MAjlis Bacaan Maulid Dhiyaul Lami' bersama Ustaz Taufik