Tuesday 6 September 2011

Manakib Syekh Nuruddin Al Morbu Banjari Al Makki

MANAQIB RINGKAS AL-FADHIL SYAIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI
 
Al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin Bin Haji Marbu Bin Abdullah Thayyib Berasal Dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Beliau Dilahirkan Di Sebuah Desa Bernama Harus, Amuntai, Pada hari Sabtu, Tanggal 1 September 1960 M. Beliau Anak Yang Ketiga Dari Tujuh Bersaudara, Dari Sebuah Keluarga Yang Taat Beragama. Bunda Beliau Bernama Hajjah Rahmah Binti Haji Muhammad Shabri, Adalah Puteri Dari Seorang Tokoh Ulama Besar Di Kalimantan Selatan.
BERHIJRAH KE TANAH SUCI MAKKAH
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di pondok pesantren Normal Islam. Belum pun sempat menamatkan pengajiannya di pondok tersebut seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah. Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shaulathiah sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidilharam dan juga dirumah para masyaikh.
Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di madrasah Shaulathiah. Di samping itu juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu’in, ‘Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas ‘Aliyah.
Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-’Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani Rahimahullah. Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya untuk menemani Tuan guru beliau ke Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah Shallallahu’Alaihiwasallam.
Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak heranlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut saja ulama yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama’ yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikhul-Ulama, Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Thalibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfenani, as-Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah “bilang saja tanpa perlu khawatir”. Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanad hingga kepada pengarang, masya Allah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.
Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma’had ‘Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat ‘Ulya” pada tahun 1990.
ANTARA GURU-GURUNYA KETIKA BELAJAR DI MEKAH DAN MESIR ADALAH ADALAH:-
  • asy-Syaikh al-’Allamah Hasan al-Masyath Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Muhammad Yasin al-Fadani Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki Rahimahullah
  • asy-Syaikh ‘Abdullah Said al-Lahji Rahimahullah
  • asy-Syaikh al ‘Alaamah al-Jalil as-Sayyid ‘Amos Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Muhammad ‘Iwadh al-Yamani Rahimahullah
  • asy-Syaikh Zakaria Bila al-Indonesia Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Syibli al-Banjari Rahimahullah
  • asy-Syaikh Karim al-Banjari Rahimahullah
  • asy-Syaikh ‘Abdul Karim al-Bukhari Rahimahullah
  • asy-’Adnan al-Afnani Rahimahullah
  • asy-Syaikh Saifurrahman Rahimahullah
  • asy-Syaikh Sahili al-Anfanani Rahimahullah
  • asy-Syaikh Said al-Bakistani Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Muhaddits al-Kabir Muhammad Zakaria al-Kandahlawi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-Jalil al-Habib ‘Abdul Qadir as-Saggaf Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Muntashir al-Katani al-Maghribi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Muhaddits al-Habib as-Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’allamah Muhammad Makki al-Hind Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Makhluf Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’allamah ‘Abdullah bin Hamid Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Kabir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-Imam al-Akbar ‘ali Jadul Haq Rahimahullah
  • asy-Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah
  • al-Ustaz ad-Doktor asy-Syaikh Muhammad Tayyib an-Najjar Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad ‘Abdul Wahid Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’allamah al-Kabir Abul Hasan ‘Ali an-Nadwi Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah al-Faqih ‘atiyyah Saqr Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Allamah Hussin Rahimahullah
  • asy-Syaikh ‘Abdul Hafidz al-Hind Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor Ahmad umar Hasyim Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdusshobur Syahin Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdul Fattah asy-Syaikh Rahimahullah
  • al-Ustadz ad-Doktor Nashr Farid Rahimahullah
  • asy-Syaikh al-’Arifbillah Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi Rahimahullah, dan ramai lagi.
MENABUR JASA & MENYANDANG GELAR AZHARUS TSANI
Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universitas al Azhar sehingga beliau mendapat gelar Al-Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universitas Al-Azhar sendiri.
Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamik al Path di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama’ muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta’lim beliau telah menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesehatan dan ke’afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.
KARYA ILMIAH
Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab mu’tabar tidak kurang daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.
DIANTARA KITAB TULISAN BELIAU ADALAH SEBAGAI BERIKUT:
  1. الإحاطة بأهم مسئل الحيض والنفاس والإستحاضة
  2. تساؤلات وشبهات وإباطيل حول معجزة الإسراء والمعراج والرد عليها
  3. المختار من نوادر العرب وطرائفهم
  4. آدب المصافحة
  5. من هو المهتدى المنتظر؟
  6. المجال الإقتصاد في الإسلام
  7. بيان مفتى جمهورية مصر العربية حول فوائد البنوك في ميزان أهل العلم
  8. (سفر المرأة) أحكامه وآدابه
  9. بالدرر البهية في إيضاح القواعد الفقهية
  10. معلومات تهمك
  11. أسمآء الكتاب الفقهية لسادتنا الأئمة الشافعية
  12. أحكام العدة في الإسلام
  13. آراء العلماء حول قضية نقل الأعضاء
  14. أدلة بحريم نقل الأعضاء الآدمية
  15. الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر في الكتاب والسنة
  16. العبر ببعض معجزات خير البشر صلى الله عليه وسلم
  17. محمد نور الدين مربو البنجاري المكي والأحاديث المسلسة
  18. الجوهر الحسن من أحاديث سيدنا عثمان بن عفان رضي الله عنه
  19. اسمى المطالب
    من بعض أحاديث سيدنا على بن أبي طالب رضي الله عنه
  20. مراقي الصعود
    من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن مسعود رضي الله عنه
  21. إفادة العام
    والخاص من بعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله
    عنهما
  22. الكواكب
    الدري من أحاديث سيدنا أبي سعيد الخدري رضي الله عنه
  23. الكواكب
    الأغر ببعض أحاديث سيدنا عبدالله بن عمر رضي الله عنهما
  24. زاد السلك من
    أحاديث سيدنا أنس بن مالك رضي الله عنه
  25. الإقتباس من
    أحاديث سيدنا عبدالله بن عباس رضي الله عنهما
  26. فيض الباري
    حول بعض أحاديث سيدنا أبي موسى الإشعري رضي الله عنه
  27. الردة
    أسبابها وأحكامها
  28. توفيق الباري
    لتوضيح وتكميل مسائل الإيضاح للامام النووي
  29. مكانة العلم
    والعلماء وآداب طالب العلم
dan banyak lagi
 
ANTARA KITAB YANG BELIAU TAHQIQ DAN TA’LIQ ADALAH SEBAGAI BERIKUT:
  • رسالة
    المعاونة والمظاهرة والمؤازرة
  • قرة العين
    بفتاوى الشيخ إسماعيل عثمان زين
  • رفع الأستار
    عن دماء الحج والاعتمار
  • شروط الحج عن
    الغير
  • الحسن
    البصري
  • إقامة الحجة
    غلى أن الإكثار في التعبد ليس ببدعة
  • خصوصيات
    الرسول صلى الله عليه وسلم
  • يستان
    العارفين
dan banyak lagi

MAJLIS PENGAJIAN Dl MALAYSIA
Pada tahun 1998 beliau telah dipercaya untuk mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah (MTI), Derang Kedah, yang didirikan oleh almarhum Ustaz Niamat Bin Yusuf Rahimahullah pada tahun 1980. Beliau tidak ubah umpama hujan yang menyuburkan bumi yang lama kehausan siramannya. Beliau menetap di MTI Derang hinggalah tahun 2002. Beliau merupakan tenaga pengajar yang utama lagi disegani yang banyak memperuntukkan masa beliau untuk para pelajar di Maahad ‘Ali Littafaqquh Fiddin, Derang.
Di samping itu beliau juga dijemput mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah. majlis-majlis perayaan agama malah suara beliau telah lantang bergema menyampaikan syiar agama di hotel-hotel, di pejabat kerajaan sama ada di negeri Kedah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terangganu. Setiap kali pengajian yang diadakan pasti akan bertambah jumlah hadirin yang tidak mau ketinggalan menimba ilmu dan menerima siraman rohani daripada beliau. Setelah 4 tahun menabur bakti di bumi Kedah beliau telah pulang ke tempat asal kelahirannya untuk menumbuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2004 beliau menubuhkan Maahad az-Zein al-Makki al-’Ali Litafaqquh Fiddin di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Dan disinilah beliau menetap dan mencetak kader ulama.
SYAIKH YASIN AL-FADANI GURU SYAIKH NURUDDIN DAN KELEBIHAN SANG GURU

No comments:

Post a Comment